Saturday, June 21, 2008

Kenali kerjaan demokrasi..

KERAJAAN
Definisi
Kerajaan adalah sebuah institusi yang terdapat dalam sesebuah negara yang mengamalkan pemerintahan secara sah.

DEMOKRASI
Definisi
Demokrasi merupakan sebentuk kerajaan dimana kuasa tertinggi terletak ditangan rakyat atau oleh wakil-wakil mereka yang dipilih dibawah sesuatu sistem pilihanraya yang bebas dan adil.

Didalam demokrasi persamaan hak antara semua rakyat adalah penting.Setiap individu mempunyai hak asasi yang perlu dijaga. Ia meliputi hak taraf hidup, pelajaran dan sebagainya. Dalam demokrasi Presiden atau Perdana Menteri adalah pentadbir Negara, mereka adalah eksekutif sebenar dalam Negara yang menjalankan pentadbiran dan dibantu setiusaha atau menteri dalam menjalankan pentadbiran. Dalan Negara seperti Malaysia, Ketua negaranya adalah Yang Dipertuan Agong yang menjadi nominal eksekutif dan lambang keluhuran perlembagaan Negara. Dalam hal ini YDPA hanya menjadi lambang dan tidak terbabit secara langsung dalam pentadbiran. Baginda hanya mengesahkan dan menjalankan kerja-kerja sebagai YDPA sahaja.




AMALAN DEMOKRASI

Kebebasan individu
Demokrasi menghendaki semua individu patut diberi kebebasan untuk bersuara, berkumpul dan mengeluarkan pendapat,memiliki harta benda, menganut agama dan peluang melanjutkan pendidikan. Perkara 5-13 dalam Perlembagaan Malaysia menjamin kebebasan individu dan hak sama rata dan lantaran itu peruntukan ini termaktub didalamnya. Kebebasan asasi penting untuk mengembangkan potensi dan personaliti seseorang itu. Tetapi kebebasan ini tidak mutlak sepenuhnya , tetapi disekat untuk mengelakan hak orang lain dicerobohi dan diganggu gugat.Kebebasan ini membolehkan rakyat melakukan apa jua aktiviti, asalkan dibawah undang-undang sesebuah Negara.

Pilihanraya bebas.
Semua kerajaan demokratik mengadakan pilihanraya yang bebas dan terbuka. Pilihanraya berkala ini memberi peluang kepada rakyat untuk memilih wakil mereka yang akan menyuarakan pendapat mereka mengenai pelbagai isu. Pilihanraya yang bebas juga membantu wakil-wakil yang dilantik ini untuk sentiasa peka pada kehendak rakyat. Didalam sebuah Negara yang mengamalkan demokrasi, setiap rakyat mempunyai kuasa mengundi yang sama. Ia berasaskan prinsip ‘seorang seundi’. Dalam pilihanraya yang bebas , rakyat boleh mengundi secara rahsia tanpa paksaan atau ugutan oleh pihak pemerintah dalam memilih wakil mereka sendiri.




Kerajaan Terhad.
Sesebuah kerajaan demokratik ditadbir dan dijalankan mengikut prinsip-prinsip dan lunas-lunas yang termaktub dalam perlembagaannya yang merupakan juga undang-undang tertinggi dalam sesebuah Negara. Ini bermakna pemerintah perlu mentadbir Negara mengikut kuasa yang ditetapkan dalam perlembagaan kepada mereka. Dalam kata lain, pemerintah tidak boleh mentadbir Negara sewenang-wenangnya tanpa mengambilkira kuasa yang telah diperuntukkan oleh perlembagaan .

Media massa yang bebas.
Antara cara untuk menentukan kesuburan demokrasi dalam sesebuah Negara adalah dengan melihat kebebasan akhbar sesebuah Negara dilaksanakan dan tidak disekat. Ini kerana media massa menyebarkan maklumat dan membantu rakyat mewujudkan kesedaran tentang pelbagai isu disamping memujuk pihak pemerintah untuk mendengar tuntutan rakyat. Tanpa media massa yang bebas dan pro-aktif Pemerintah boleh menyembunyikan salahlaku dan rasuah dikalangan mereka tanpa pengetahuan rakyat. Oleh sebab itu pentingnya mempunyai media massa yang bebas dalam sesebuah kerajaan demokrasi.

Pemerintahan majoriti dengan melindungi hak minoriti.
Dalam sebuah kerajaan demokrasi perlu ada perlindungan hak-hak minority oleh pihak majority . Golongan majority membuat keputusan politik tanpa meninggalkan hak-hak minority. Undang-undang yang diluluskan oleh badan perundangan Malaysia mencerminkan kehendak golongan majority dan diterima oleh rakyat. Golongan majoriti bebas mengamalkan agama, mendapat pendidikan dan mengamalkan kebudayaan seperti termaktub dalam perlembagaan Malaysia perkara 5 – 13.


Terdapat dua jenis demokrasi iaitu ‘ demokrasi secara langsung’ dan ‘ demokrasi secara tidak langsung atau demokrasi perwakilan’.

Demokrasi secara langsung
Didalam sistem demokrasi secara langsung , rakyat dalam Negara itu akan berkumpul disatu kawasan terbuka untuk membincangkan dan menentukan dasar-dasar kerajaan dan melantik ketua dikalangan mereka. Tetapi cara ini sudah tidak dipraktikkanlagi kerana jumlah rakyat yang berjuta-juta (ramai) akan melambatkan proses perbincangan dan sebagainya.Cara ini diamalkan di Greece dan Rome purba. Sekarang Cuma di sesetengah Bandar di Swizland yang masih mengamalkan system ini.

Demokrasi secara tidak lansung (perwakilan)
Dibawah demokrasi tidak langsung , rakyat memilih wakil-wakil mereka semasa pilihanraya yang diadakan secara berkala dan wakil-wakil yang dipilih itu menjalankan kerajaan. Mereka menggubal undang-undang ,dasar-dasar Negara dan melaksanakan nya demi kepentingan seluruh rakyat. Dibawah system demokrasi ini , sumber kuasa terakhir terletak ditangan rakyat. Wakil-wakil yang dipilih bagi sesuatu tempoh tertentu melaporkan balik kepada pengundi-pengundi (rakyat). Pengundi menilai pretasi wakil-wakil ini dan menentukan samada wakil ini perlu dipilih semula atau diganti dengan wakil yang lain.Kebanyakan Negara moden, mengamalkan system ini seperti Malaysia,Filipina,United State of Amerika dan Singapura.



Ciri-ciri demokrasi tidak langsung.
1) Merupakan kerajaan ala perwakilan.
2) Kedaulatan atau kuasa terletak pada rakyat.
3) Kerajaan dijalankan bagi pihak rakyat.
4) Rakyat tidak mempunyai peranan secara langsung dalam kerajaan.
5) Rakyat hanya mengawal kerajaan melalui pilihanraya berkala (sekali dalam lima tahun).

Kebaikan Demokrasi.
Demokrasi berasaskan seorang satu undi.Dibawah demokrasi individu dianggap sebagai penting dan pelbagai hak diberikan. Kebebasan asasi individu dilindungi dan kehendak/kepentingan majority diberikan penekanan. Suara manoriti juga diberiperhatian. Demokrasi merupakan kerajaan mengikut persetujuan dan perbincangan. Di samping itu, demokrasi merupakan satu bentuk kerajaan yang cekap dan bertanggungjawab, cara pilihan pemimpin oleh rakyat dan kawalan oleh rakyat menjadikan sesebuah kerajaan itu lebih bertanggungjawab. Tambahan pula, demokrasi menekankan’ rule of law’(keluhuran undang-undang) dan semua rakyat tertakluk kepada undang-undang yang sama.
Keburukan Demokrasi
Demokrasi merupakan satu bentuk kerajaan yang mahal. Ini adalah kerana pilihanraya perlu diadakan setiap lima tahun sekali dan perbelanjaannya adalah terlalu tinggi. Di kebanyakan kerajaan yang mengamalkan demokrasi, hak minority tidak dilindungi. Sesuatu keputusan politik mengambil masa yang agak panjang. Parti –parti politik menimbulkan keraguan dan kekeliruan di kalangan rakyat dan mereka menimbulkan isu-isu sensitive (seperti perkauman agama dan hak-hak istimewa majoriti). Bagi memancing undi atau untuk menang dalam pilihanraya. Ini boleh melemahkan kerajaan dan menimbulkan keraguan dikalangan rakyat.


KESIMPULAN.
Dalam demokrasi penyertaan rakyat adalah penting .Rakyat tidak harus berdiam diri sekiranya tindakan kerajaan tidak selari dengan kepentingan rakyat seperti keputusan tidak adil atau kecuaian dalam pentadbiran.Sekiranya rakyat bersikap pasif dan tidak mengambil tahu urusan dan tindakan kerajaan , rakyat sendiri akan rugi jika pemerintah mengambil kesempatan. Jika rakyat bersikap pro-aktif , pentadbiran akan dijalankan dengan cara menguntungkan rakyat

.Bagi menentukan demokrasi berjaya, syarat-syarat seperti yang dinyatakan dibawah ini perlu:
1) Rakyat perlu mempunyai integriti dan kejujuran yang tinggi.Mereka perlu bersikap toleransi, bertanggungjawab dan dapat menerima keputusan majoriti.
2) Rakyat perlu berpendidikan yang boleh membolehkan mereka membuat keputusan yang bijak, adil dan munasabah.Oleh itu kerajaan perlu mewajibkan pendidikan dikalangan rakyat dan menggalakkan rakyat mendapat pendidikan di peringkat tertinggi.
3) Rakyat perlu menunjukkan minat dalam hal ehwal Negara dan politik.Mereka perlu mengambil bahagian secara cergas dalam pentadbiran Negara. Mereka juga perlu bersedia untuk memperjuangkan hak-hak mereka.
4) Kepimpinan yang baik dan berkesan diperlukan bagi menentukan kerajaan berjalan lancer.
5) Media massa perlu melapurkan berita yang benar dan sahih iaitu secara bebas dan adil , agar rakyat dapat menilai wakil-wakil mereka ini.